Pembuka Bicara

Kesetiaanmu Kuhargai

Penyambut tetamu

Penyambut tetamu
Bismillahirrahmanirrahim...Assalammualaikum semua.Selamat datang dan aHLAN wasahlan ke blog ala2 Diari Hikayat Putera Nazrin ini.hahaha...Blog ini mengandungi kisah-kisah menarik,dan cerita-cerita suka dan duka dalam layaran kehidupan saya....Siapa yang x berkenan dengan blog ni,bley blar skrg eh ataupun tekan close terus.....huhu (x masal)..sekian terima kaseh!!..teruskan membaca dan selamat menziarahi blog saya ini...ngeh3...

Dimulakan Dengan...

Saturday, March 12, 2011

Refleksi KKP EDU 3102

بسم الله الرحمن الرحيم

Ke Kampung Miri bawa jerami,

Singgah di kota membeli tapai,

Teori dipelajari kognitif difahami ,

Tugasan dilaksana manfaat dicapai.

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Subhanu Wata’ala dan junjungan besar Nabi Muhammad kerana pada hari ini saya masih lagi diberikan peluang untuk bersama sahabat-sahabat dalam satu penyatuan yang sama iaitu menuntut ilmu dunia dan akhirat. Tanpa belas kasih sayang dan keizinan-Nya, sudah tentu saya dan rakan seperjuangan saya iaitu saudara Muhammad Asyraaf Azhar bin Nor Adzman tidak berjaya menyempurnakan tugasan Kerja Kursus Pendek Perkembangan Kanak-Kanak : Perkembangan Kognitif Peringkat Pra Operasi ini. Memang benarlah kata pepatah Melayu, “Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” Begitu juga dengan kami, jika kami tidak mencanai usaha membentuk gagasan kerjasama yang utuh, sudah tentu tugasan ini berlangsung ala kadar asalkan siap sahaja. Saya dan Asyraaf tetap ingin melaksanakan tugasan ini dengan cemerlang agar matlamat tugasan yang ingin dicapai akan terlaksana.


Istilah kerja kursus begitu sinonim sekali dengan kehidupan seseorang pelajar.Saya acap kali mendengar keluhan rakan-rakan saya dek timbunan kerja kursus yang melambak . Kebanyakan pelajar akan keluh-kesah tatkala berhadapan dengan tsunami tugasan di IPG ini. Namun, bagi saya semua itu adalah perkara normal dan perkara wajar yang harus dilalui oleh seseorang pelajar. Apa gunanya belajar kalau tiada kesusahan, apa gunanya nak berjaya kalau tak nak berkorban,dan apa maknanya jika kita nak berjaya, pemikiran negatif selalu sangat bersarang di minda? Dalam Islam sendiri ada menekankan bahawa kesenangan itu muncul setelah kesusahan. Jadi, saya tak nak mencampakkan diri saya ke dalam pemikiran negatif dalam melaksanakan tugasan ini. Pengurusan masa seseorang pelajar itu adalah yang paling dominan dan signifikan bagi menyiapkan tugasan-tugasan agar tiada tekanan negatif dan rengekan jengkel yang berbunyi, dan menyumpah serana KKP yang tidak bersalah itu.


Bagaimanakah tugasan ini dihasilkan? Izinkan saya berkongsi ceritanya di sini ya. Pada 11 Februari 2011, saya dan rakan-rakan PISMP Semester 1 telah diberikan taklimat tugasan kerja kursus pendek EDU 3102 (Perkembangan Kanak-Kanak) oleh Puan Suraya Adam selaku Penyelaras Subjek EDU 3102 di Dewan Syarahan Idris Al-Marbawi. Kami diberikan penerangan secara terperinci mengenai soalan-soalan tugasan tersebut.Sesi soal jawab turut diadakan ketika taklimat berlangsung.


Setelah meneliti soalan-soalan tersebut, jelas bahawa secara keseluruhannya tugasan itu adalah berkenaan perkembangan kognitif peringkat pra operasi (kanak-kanak 2-7 tahun) dan teori Piaget. Alangkah riangnya hidup saya kerana sudah banyak maklumat berkenaan perkembangan kognitif yang telah saya muat turun di internet sebelum tugasan diberikan lagi.Jadi, mudahlah bagi saya untuk terus mendapatkan bahan-bahan rujukan daripada sumber tersebut. Daripada sumber internet itu juga sudah banyak sumber daripada buku-buku.Alhamdulillah…Pada masa yang sama, saya dan rakan pasangan iaitu Asyraf ada mendapatkan sumber rujukan daripada Pusat Sumber Al-Ghazali. Kami telah merujuk kepada buku-buku perkembangan kanak-kanak yang berbahasa Inggeris dan bersaiz tebal-tebal. Daripada buku-buku tersebut terdapat banyak sumber mengenai perkembangan kognitif dan Piaget’s Conservation Tasks. Daripada buku-buku tersebut juga saya telah tahu apa yang dikatakan dengan Piaget’s Conservation Tasks.


Sepanjang proses pelaksanaan kerja kursus ini, saya telah berbincang dengan ramai kawan tentang aktiviti-aktiviti pengabadian ataupun pengekalan. Antara aktiviti tersebut ialah pengabadian nombor,cecair,jisim,panjang,dan isipadu. Terima kasih kepada Hafiz Zakaria (Rakan Sebilik), Zuhair (PISMP Sains Sosial),Fikri (PISMP Pengajian Melayu), Firdaus (PISMP Pengajian Agama), rakan-rakan sekelas saya dan ramai lagi kawan-kawan yang memberikan saya maklumat mengenai pelaksanaan kerja kursus ini. Tanpa mereka sudah pasti saya menemui jalan mati.


Siapakah kanak-kanak comel yang menjadi bahan eksperimen kami dalam tugasan ini? Kanak-kanak comel itu ialah Muhammad Hazqil bin Kamaruddin yang berumur 6 tahun. Hazqil merupakan salah seorang anak saudara saya sendiri.Hazqil memanggil saya dengan gelaran ‘Acu’ ketika di rumah, manakala nama timangannya pula ialah ‘Adik’. Hazqil merupakan anak ke-4 dalam adik beradiknya dan bakal menerima seorang adik kecil pada bulan Mac ini,Insya’Allah. Hazqil sedang mendapat pendidikan awal di Taska ABIM, Cawangan Tangkak,Ledang Johor.Dia merupakan seorang kanak-kanak peringkat pra operasi yang sangat aktif, periang, penghibur keluarga, cerdik, cerdas, pandai bermain badminton dan memiliki semua kriteria kanak-kanak peringkat pra operasi.Saya sangat suka bermain-main dan melayan karenah jenakanya ketika di rumah.


Saya telah melaksanakan eksperimen tersebut pada 19 Februari 2011 di rumah keluarga saya sendiri iaitu di Batu 18,Kampung Payamas,84900 Tangkak Johor. Alhamdulillah, Hazqil memberikan kerjasama yang sangat cemerlang kepada saya sepanjang eksperimen dilaksanakan.Semua pemerhatian,analisis dan gambar-gambar telah saya dan Asyraf sertakan di dalam tugasan kerja kursus ini. Saya berharap agar dengan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan kepada Hazqil, sebanyak mungkin saya memperoleh pengalaman dan pemahaman bermakna berkaitan kanak-kanak.


Selain itu, saya dapat melihat kesungguhan rakan-rakan sekelas saya melaksanakan tugasan perkembangan kanak-kanak ini. Ada daripada mereka yang menemui kanak-kanak di Tadika Halimatus Sa’adiah, ada yang menemui kanak-kanak di rumah mak cik, dan ada yang menemui kanak-kanak di tempat umum. Kesungguhan ini menampakkan betapa mereka suka dan ikhlas melaksanakan tugasan ini.Tambahan pula kami akan mengajar kanak-kanak sekolah rendah kelak.


Harapan saya agar dengan terlaksananya tugasan KKP EDU 3102 ini, saya dapat menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan, pengalaman, semangat dan keyakinan yang tinggi berkaitan kanak-kanak. Sekurang-kurangnya apabila saya menghadapi dengan kanak-kanak nanti, saya tidak akan berasa pelik dan janggal. Tambahan pula, faktor keluarga saya juga memainkan peranan yang penting untuk memahmi tentang kanak-kanak kerana saya memiliki 6 orang anak saudara yang mana umur mereka adalah dalam lingkungan 5-13 tahun.


Akhir sekali, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Noraini binti Mohamad selaku pensyarah pembimbing EDU 3102 PISMP 1.03 yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada kami semua. Tidak dilupakan juga, Puan Siti Romlah selaku pensyarah kami sewaktu sesi ‘match lecture’ diadakan, juga kepada Puan Suraya selaku penyelaras subjek EDU 3102 yang telah memberikan taklimat tugasan KKP pada awalnya. Tidak sah rasanya jikalau saya tidak mengucapkan sekalung apresiasi terima kasih kepada rakan-rakan PISMP 1.03 dan rakan-rakan PISMP Semester 1 ambilan Januari 2011 yang telah banyak berkongsi maklumat pelaksanaan tugasan kepada saya selama ini.Jasa semua orang ini akan saya kenang sampai bila-bila dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.Sekian, terima kasih.


No comments: