Harum harum si puteri Tunisia,
Duduk bersimpuh menjamah tapai,
Belajar Tamadun Islam dan Asia,
Tugasan dilaksana manfaat dicapai.
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Subhanu Wata’ala dan junjungan besar Nabi Muhammad kerana pada hari ini saya masih lagi diberikan peluang untuk bersama sahabat-sahabat dalam satu penyatuan yang sama iaitu menuntut ilmu dunia dan akhirat. Tanpa belas kasih sayang dan keizinan-Nya, sudah tentu saya dan rakan seperjuangan saya iaitu saudara Muhammad Asyraaf Azhar bin Nor Adzman tidak berjaya menyempurnakan tugasan Kerja Kursus Pendek Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (TITAS):Bencana Alam Menurut Perspektif Pelbagai Agama ini dengan sebaiknya. Memang benarlah kata pepatah Melayu, “Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” Begitu juga dengan kami, jika kami tidak mencanai usaha membentuk gagasan kerjasama yang utuh, sudah tentu tugasan ini berlangsung ala kadar asalkan siap sahaja. Saya dan Asyraaf tetap ingin melaksanakan tugasan ini dengan cemerlang agar matlamat tugasan yang ingin dicapai akan terlaksana.
Istilah kerja kursus begitu sinonim sekali dengan kehidupan seseorang pelajar.Saya acap kali mendengar keluhan rakan-rakan saya dek timbunan kerja kursus yang melambak . Kebanyakan pelajar akan keluh-kesah tatkala berhadapan dengan tsunami tugasan di IPG ini. Namun, bagi saya semua itu adalah perkara normal dan perkara wajar yang harus dilalui oleh seseorang pelajar. Apa gunanya belajar kalau tiada kesusahan, apa gunanya nak berjaya kalau tak nak berkorban,dan apa maknanya jika kita nak berjaya, pemikiran negatif selalu sangat bersarang di minda? Dalam Islam sendiri ada menekankan bahawa kesenangan itu muncul setelah kesusahan. Jadi, saya tak nak mencampakkan diri saya ke dalam pemikiran negatif dalam melaksanakan tugasan ini. Pengurusan masa seseorang pelajar itu adalah yang paling dominan dan signifikan bagi menyiapkan tugasan-tugasan agar tiada tekanan negatif dan rengekan jengkel yang berbunyi, dan menyumpah serana KKP yang tidak bersalah itu.
Bagaimanakah tugasan ini dihasilkan?Marilah sama-sama kita berkongsi di sini. Pada 7 Februari 2011,jam 3.40 petang di Dewan Syarahan Idris Al-Marbawi bermulalah segalanya. Pada ketika itulah Taklimat Kerja Kursus Pendek Subjek WAJ 3101 Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dibentangkan. Pembentangnya ialah Ustaz Abdul Jabar bin Abdullah merangkap Pensyarah Induk Subjek WAJ 3101 ini. Pelajar-pelajar PISMP Semester 1 Ambilan Januari 2011 yang terdiri daripada 14 kelas telah menghadiri ke taklimat tersebut. Ustaz jabar telah menerangkan tentang objek tugasan, kriteria tugasan, dan pelaksaan tugasan. Manakala pilihan-pilihan soalan (lampiran) diberikan kepada setiap pelajar di kemudian hari. Saya telah mencatat beberapa maklumat penting sepanjang taklimat itu. Tarikh mula kerja kursus ini ialah 8 Februari 2011 dan perlu dihantar sebelum atau pada 22 Februari 2011.
Seterusnya, saya dan rakan-rakan lain telah mendapat pilihan-pilihan soalan tugasan TITAS ini. Begitu banyak pilihan soalan yang terdapat di dalam lampiran tersebut. Secara rambang, tajuk-tajuknya kelihatan agak sukar dan rumit.Kenapa? Ia kelihatan seperti sukar untuk mencari bahan-bahan berkaitan tajuk-tajuk tersebut. Setelah membuat pengundian tajuk-tajuk di dalam kelas saya, saya telah mendapat tajuk berkenaan Islam Hadhari manakala Asyraaf telah mendapat tajuk berkenaan dengan Bencana Alam. Kemudian, kami dimaklumkan oleh Ustaz Rahmat untuk memilih salah satu tajuk tersebut dan jadikan sebagai tajuk utama tugasan TITAS ini. Setelah saya berbincang dengan Asyraaf, kami telah memilih tajuk ‘Bencana Alam Menurut Perspektif Pelbagai Agama’. Secara seriusnya, saya mengatakan tajuk ini membuatkan saya berasa tidak bernafas, dan macam susah nak mencari maklumat berkenaan perspektif selain agama Islam.Tajuk-tajuk yang lain telah dipilih oleh rakan-rakan sekelas yang lain, dan jika ada baki tajuk itupun agak sukar untuk difahami tajuknya.Tajuk pun tak faham, inikan pula nak laksanakan.Saya juga takut jika terdapat banyak kecelaruan dalam penghasilan kerja kursus ini kerana tajuk ini memerlukan kami mencari maklumat tentang banyak perspektif. Setelah mencari dan mencari bahan-bahan yang berkaitan, hanya perspektif agama Islam dan agama Buddha sahaja yang banyak ditemui, manakala perspektif agama Kristian sangat sedikit yang kami temui. Namun tidak mengapa, saya dan Asyraaf tetap memberikan yang terbaik dalam penghasilan kerja kursus ini.
Sebenarnya, bencana alam menurut pandangan agama Islam ada banyak dan kami masukkan sebahagian daripadanya di dalam tugasan ini.Manakala pandangan agama Buddha pula tidak sebanyak dan tidak sesahih pandangan agama Islam, bahasa-bahasa yang digunakan daripada bahan-bahan yang ditemui juga agak memeningkan kepala saya.Tak faham! Barangkali kebanyakan sumber ditemui adalah di dalam bahasa Indonesia dan istilah-istilah Buddhisme. Manakala pandangan agama Kristian yang kami temui hanyalah komen-komen dan pandangan-pandangan penganut agama kristian di laman forum internet.Tidak banyak yang kami temui berkenaan pandangan agama kristian terhadap bencana alam. Sangat menyedihkan!
Saya berasa berat dan sukar untuk mempersembahkan tugasan ini kerana sumbernya sangat terhad dan tidak banyak.Namun dengan kekuatan yang Allah berikan kepada saya dan Asyraaf, dapat juga kami menyempurnakan tugasan ini dengan baik. Selebihnya saya bertawakkal kepada Allah Subhanu Wata’ala sahaja.
Tugasan kerja kursus pendek TITAS ini adalah tugasan pertama yang perlu dihantar oleh kami dalam semester 1 ini. Sepanjang melaksanakan tugasan ini saya telah belajar banyak erti kehidupan seperti pengorbanan, kesabaran, kesungguhan, semangat tidak putus asa, keikhlasan,bersemangat tinggi,bijak mengurus waktu yang cepat saja berlalu dan banyak lagi. Norma-norma ini sememangnya ditanam dan disuburkan dalam diri saya ketika melaksanakan tugasan ini.
Kami telah siap dan sempurnakan tugasan ini pada hari penghantaran tugasan ini iaitu 22 Februari 2011,hari Selasa.Setelah siap, kami pun menghantarnya. Secara totalnya, tugasan TITAS: Bencana Alam ini telah memberikan saya banyak manfaat yang boleh saya gunakan pada bila-bila masa selepas ini. Pengalaman menyiapkan tugasan ini bersama Asyraaf dan rakan-rakan PISMP 1.03 yang lain sudah pasti akan saya semadikan dalam sanubari saya untuk selama-lamanya. Sifat bagai aur dengan tebing yang dibina oleh kami adalah nadi utama pelaksanaan tugasan ini.Tanpanya bagaimana mungkin tugasan ini boleh berjalan sampai ke destinasinya. Semoga dengan ilmu pengetahuan yang saya perolehi menerusi tugasan ini, dapat menjadikan saya seorang pelajar yang bertamadun tinggi.Tak tumbuh tak melata,Tak sungguh saya tak kata.
Akhir kalam, terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Rahmat Othman dan Ustaz Abdul Jabar Abdullah atas perkongsian ilmu,ajaran, bimbingan dan nasihat yang diberikan. Terima kasih juga kepada Asyraaf kerana sudi menjadi rakan kerjasama saya dalam tugasan ini.Tidak dilupakan juga kepada kawan-kawan PISMP 1.03 yang sentiasa menjadi sumber inspirasi saya, serta kepada semua pihak yang menjayakan tugasan ini, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.Terima kasih! Tanpa kalian, matilah kami.Sekian, wassalam….
No comments:
Post a Comment